Sunday, January 23, 2011

PANTUN SENI CINDAI

Seni Cindai pusaka purba,
Sudah diukur baru dipakai,
Jika anggota cacat dan cedera,
Tidak boleh tuan memakai.

Seni Cindai pusaka purba,
Disandang mari dihujung bahu,
Jangan serang membabi buta,
Jerat maut sedia menunggu.

Seni cindai pusaka purba,
Disandang oleh Panglima Melayu,
Kalau engkau sedah sedia,
Aku telah sedia menunggu.

Kain Cindai dari Sulawesi,
Dibawa oleh Puteri Meliwa,
Hikmat Gayung sangat sakti,
Siapa menyerang menjadi mangsa.

Panglima Meruku hulubalang Bugis,
Dato'Hang Tuah pernah bersua,
Inilah satu pusaka Bugis,
Peganglah AMANAH sumpah setia.

Thursday, January 20, 2011

7 Kelebihan Sabar

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : “dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar, dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas (manfaatnya) daripada kesabaran.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pengajaran :

1. Sabar adalah sifat mulia (mahmudah) yang mesti dimiliki oleh setiap umat Islam.
2. Untuk memiliki sifat sabar, perlulah ada latihan yang berterusan.
3. Orang yang berusaha melatih dirinya bersabar dan terus bersabar adalah orang dikasihi serta dekat dengan Allah s.w t. Allah memandangnya dengan pandangan rahmat.
4. Orang yang banyak bersabar dalam membentuk dirinya untuk menjadi seorang penyabar (as-Sobirun), tidak akan disia-siakan Allah. Akhirnya, ia akan ditulis di sisi Allah sebagai hamba yang penyabar.
5. Apabila seseorang memiliki sifat sabar, maka ia telah memiliki kebaikan dan keuntungan yang banyak.
6. Apabila seseorang dianugerahkan sifat sabar, maka ketahuilah bahawa Allah taala mahu memberikan kepadanya manfaat yang besar lagi luas, berpanjangan dari dunia sampai akhirat.
7. Antara keutamaan sifat sabar ialah:
a. masuk syurga tanpa hisab (perhitungan)
b. diampunkan dosa-dosa yang lalu
c. memilliki iman yang sejati.

Monday, January 10, 2011

Keris Lambang Kekuatan Orang Melayu

Keris ialah sejenis senjata pendek kebangsaan Melayu yang digunakan sejak melebihi 600 tahun dahulu. Senjata ini memang unik di dunia Melayu dan boleh didapati di kawasan berpenduduk Melayu seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand Selatan, Filipina Selatan(Mindanao), dan Brunei.
Nama yang digunakan untuk keris berbeza mengikut daerah misalnya sundang di Mindanao, kedutan di Bali, kujang di Jawa Barat, dan kareh di Sumatera. Perkataan keris dikatakan berasal dari bahasa Jawa Kuno iaitu malang kerik yang bermaksud bercekak pinggang. Ini merujuk kepada figura orang bercekak pinggang pada hulu keris pada peringkat awal.[1]
Keris digunakan untuk mempertahankan diri (misalnya sewaktu bersilat) dan sebagai alat kebesaran diraja. Senjata ini juga merupakan lambang kedaulatan orang Melayu. Keris yang paling masyhur ialah keris Taming Sari yang merupakan senjata Hang Tuah, seorang pahlawan Melayu yang terkenal.
Keris berasal dari Kepulauan Jawa dan keris purba telah digunakan antara abad ke-9 dan abad ke-14. Senjata ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu mata, hulu dan sarung. Keris sering dikaitkan dengan kuasa mistik oleh orang Melayu pada zaman dahulu. Antara lain, terdapat kepercayaan bahawa keris mempunyai semangatnya yang tersendiri.
Keris menurut amalan Melayu tradisional perlu dijaga dengan cara diperasapkan pada masa-masa tertentu, malam Jumaat misalnya. Ada juga amalan mengasamlimaukan keris sebagai cara untuk menjaga logam keris dan juga untuk menambah bisanya.